Thursday, July 24, 2014

Kapan Palestin Milik Kita?

Pertembungan Hak-BatilPertembungan yang berlaku di Palestin bukanlah sekadar persaingan di antara dua bangsa iaitu di antara bangsa Palestin dan Yahudi terhadap sekeping tanah yang bernama Palestin atau Israel. Pertembungan ini adalah satu pertembungan yang panjang yang berpaksikan kepada pemilikan kekuasaan besar dunia antarabangsa. Pemilikan kuasa ke atas Palestin adalah sinonim dengan pemilikan kuasa di dunia antarabangsa.
al aqsa mosqueIslam pernah memerintah bumi ini dalam tempoh yang panjang dengan penuh keamanan dan keadilan setelah umat terdahulu mendapatkannya melalui jalan perjuangan yang sukar lagi berliku. Kita meyakini bahawa tidak dapat tidak, pencinta kebenaran mesti melihat kembali apakah rahsia yang dimiliki oleh generasi terdahulu yang hebat seumpama generasi Soahuddin al Ayyubi. Rahsia inilah juga yang telah dicungkil oleh Solahuddin setelah mempelajari kemenangan sebelumnya di kalangan sahabat di bawah pimpinan Umar al Khattab.
Secara ringkasnya, ada 5 rahsia utama yang dimiliki oleh Solahuddin dan generasinya.
1 – Membina generasi yang bertaqwa kepada Allah Dan memelihara diri daripada maksiat.
Taqwa dan Iman kepada Allah serta menjauhkan diri daripada maksiat adalah kunci pertama kepada kemenangan dan petanda kepada berita-berita yang baik. Dengan kekuatan iman yang kuat meresap di dalam hati setiap tenteranya, maka faktor ini akan menambahkan lagi semangat mereka untuk berjuang menentang musuh-musuh Islam. Iman ini juga yang akan menghilangkan rasa gentar mereka ketika menghadapi sebarang kemungkinan.
Ketika menjadi menteri di Mesir, beliau telah menghapuskan maksiat dan kemungkaran yang telah melata di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata. Beliau juga sentiasa mengarahkan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai yang dilantik supaya berlaku benar, sentasa meningkatkan taqwa dan berlaku taat kepada Allah. Beliau juga adalah pendokong kuat kepada ajaran tauhid dan tegas dalam membenteras gerakan bid’ah di wilayah yang dikuasainya.

Solahuddin adalah seorang yang wara’ dan sentiasa melakukan solat berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Beliau tidak pernah meninggalkan solat berjamaah melainkan beberapa hari ketika sakit sebelum kematiannya. Solahuddin juga sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Beliau sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan sehinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta-benda.
Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Di medan peperangan dia kerap kali duduk mendengar bacaan al-Quran oleh tentera-tentera yang dilawatinya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga berlinangan air mata yang membasahi dagu dan janggutnya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah swt. Dia sentiasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Baitul Maqdis di dalam keadaan yang sangat sukar dan seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak, beliau enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Di sepanjang malam, beliau bersolat sambil menangis sehinggakan air matanya membasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Tidak lama kemudian, perbalahan sesama sendiri berlaku di kalangan tentera-tentera musuh yang menghasilkan berita yang baik bagi tentera Solahuddin beberapa hari selepasnya. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat keluar dari bandar suci tersebut.
2 – Persediaan yang  sempurna dan amat mengambil berat isu pembebasan Al-Aqsa
Para sejarawan bersepakat bahawa Solahauddin amat mengambil berat terhadap isu pembebasan Baitul Maqdis. Beliau menjalani hidup dengan penuh berdisiplin. Solahuddin mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Baitul Maqdis kerana beliau telah menjadikan isu ini sebagai agenda hidupnya. Pernah beliau ditanya akan kenapa beliau sentiasa kelihatan serius dan tidak pernah ketawa. Beliau menjawab, “Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada di bawah cengkaman musuh”.
persiapan salahuddinSehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Pemikirannya sentiasa tertumpu kepada perjuangan di jalan Allah. Semangat beliau yang sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Dalam medan peperangan dia begitu tangkas bergerak bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak pantas dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Dia lebih gemar berpuasa sekalipun di medan peperangan.
Beliau sentiasa mempastikan bahawa di dalam setiap aspek ketenteraan, tenteranya terus berada di dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan musuh seperti membuat senjata, membuat kapal armada perang, mencipta bahan letupan dan lain-lain lagi. Setelah membuat persiapan yang lengkap dengan penuh teliti, Solahuddin bersama tenteranya menyerang pihak musuh dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Ini adalah sebahagian dari sebab kemenangan mereka yang akhirnya berjaya mengembalikan maruah umat serta kemuliaan Islam.
3 – Menyatukan kekuatan umat di bawah pemerintahan yang satu.
Solahuddin menjadi pemimpin Mesir selepas wafatnya Khalifah Fatimiyah pada 567H. Beliau memperluaskan wilayahnya dengan menguasai Yaman dan Hijaz. Kawasan Laut Merah dan di sekitarnya juga jatuh ke bawah pemerintahannya. Setelah pemerintah Syria yang bernama Nuruddin Mahmud Zanki meninggal dunia, maka Solahuddin terus mengambil-alih Damsyik, Aleppo dan bandar-bandar lain daripada kerajaannya. Akhirnya Solahuddin berjaya menyatukan wilayah-wilayah Islam di bawah satu kesatuan pemerintahan termasuk utara Iraq, Kurdistan, Syam, Yaman, Mesir, Barqah dan lain-lain lagi.
map-jerusalem-saladinKesatuan ini pastinya memberikan kekuatan asasi yang memainkan peranan penting di dalam usaha pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salib yang telah memerintahnya selama 88 tahun. Apabila negara-negara umat Islam ini bersatu di atas dasar  Islam dan diketuai oleh seorang pemimpin yang beriman lagi amat dipercayai, seorang panglima yang berani lagi berpengalaman, maka kemenangan boleh dicapai dan bendera Islam akan kembali berkibar di wilayah-wilayah Islam.
Akhirnya, Solahuddin bersama generasi tenteranya berjaya membebaskan Masjid al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, masjid yang ke tiga suci di sisi Allah, bumi para Nabi dan juga destinasi Isra’ Rasulullah s.a.w sebelum Baginda dimi’rajkan ke langit yang ke tujuh.
4 – Matlamat perjuangan adalah untuk menegakkan kalimah Allah:-
Solahuddin telah mendidik tenteranya agar berjuang dengan penuh keikhlasan bagi mempastikan perjuangan ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Seorang pejuang mesti membersihkan hatinya daripada niat yang selain daripada mencari keredhaan Allah s.w.t.
Beliau juga telah mendidik tenteranya agar berjuang dan menjadikan mati syahid sebagai satu kemuliaan. Beliau juga menjadikan kemenangan di dalam jihad sebagai satu wasilah untuk menyebarkan dakwah Islam itu sendiri.
Di antara bukti lain bahawa perjuangannya adalah untuk menaikkan kalimah Allah ialah sikapnya yang berbudi bahasa dan perlakuan adil terhadap musuhnya sendiri. Semua sejarawan samada dari Barat dan Timur, Orientalis dan Muslim telah mencatatkan sikap dan perbuatan Solahuddin terhadap musuhnya. Di antaranya termasuklah tindakan beliau membahagikan duit dan binatang tunggangan kepada orang-orang tua, para pesakit dan orang-orang miskin dari kalangan pihak Salib. Seorang penulis yang bernama Hatti pernah berkata,”Perbezaan di antara layanan tentera Islam Solahuddin kepada orang awam Salib dan layanan tentera Salib kepada orang awam Muslim pada 88 tahun sebelumnya ternyata amat besar perbezaannya.”
5 – Isu pembebasan Al-Quds adalah isu Islam dan Muslimin
Menurut syariat Islam, sekiranya wilayah Islam dijajah musuh, maka menjadi kewajipan kepada semua umat Islam untuk membebaskan wilayah ini. Bedasarkan kepada prinsip inilah, maka Solahuddin telah mengumpulkan umat Islam yang berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa di bawah panji Islam.
bendera IslamSolahuddin telah menanamkan Kesedaran bahawa setiap inci dari tanah yang pernah diperintah oleh umat ini wajib dipelihara kedaulatannya. Beliau juga telah menanam dan menyuburkan ukhuwah di kalangan umat ini kerana ukhuwah adalah sangat kerkait rapat dengan iman.
Setiap orang daripada kalangan tentera yang dipimpinnya meletakkan harapan untuk syahid di jalan Allah. Ini adalah kerana mereka memahami bahawa isu pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa adalah isu dan tanggung-jawab ke atas setiap umat Islam dan bukan sekadar isu bangsa Palestin atau isu bangsa Arab semata-mata.
Bukti-bukti Kejayaan Perjuangan Solahuddin
Solahuddin bersama generasinya telah membuktikan bahawa umat Islam boleh menang walaupun ketika berhadapan dengan pihak musuh yang mempunyai kekuatan berlipat kali ganda, sekiranya mereka berjuang dengan menggunakan kaedah yang betul dan memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Di antara bukti-bukti kejayaan yang telah ditunjukkan oleh generasi Solahuddin ialah :-
  1. Membebaskan 50 bandar di Palestin  sebelum berjaya membebaskan Palestin sepenuhnya
  2. Mengharungi 74 peperangan dan memenanginya.
  3. Berjaya mengalahkan 22 kerajaan gabungan Eropah

Kesimpulan
  • Permasalahan Palestin dan Masjid Al Aqsa adalah isu perdana bagi umat Islam di seluruh dunia. Ianya tidak terhad untuk bangsa Palestin atau  orang-orang Arab sahaja. Sebagai Umat Islam di Malaysia atau di mana sahaja, kita mesti menyertai perjuangan mulia yang merupakan isu perdana umat di abad ini.
  • Kemenangan umat yang hakiki mestilah berpaksikan kepada al Qur’an dan sunnah serta dengan mencontohi generasi al-Quran yang terdahulu. Ini adalah  kunci kepada kemenangan yang sebenar.
  • Kemenangan Solahuddin ke atas tentera Salib bukanlah disebabkan oleh kehebatan peribadinya semata-mata tetapi adalah kerana kecemerlangan generasi yang telah dibinanya, yang telah diasaskan oleh  barisan pimpinan dan juga para ulama sebelumnya.
Semoga kita bertemu lagi, di Masjid al Aqsa insya Allah….
al Quds
Salam perjuangan
Dr Zainur Rashid Zainuddin

No comments:

Post a Comment